Sunday, November 29, 2009

Dia Ayahku...

Aku di buai resah..semalaman berfikir tentang perkara yang tak logik di akal.Kata-kata itu sememangnya benar-benar menusuk segenap ruang hatiku. "Perempuan sombong! Mentang-mentanglah lawa...Heiii ingat sikit yang engkau tu anak luar nikah!!" Aku memandang tanpa berkelip ke arah budak lelaki yang tak asing kesamsengannya kat sekolah ini. "Apa maksud kau? Janganlah fitnah aku yang bukan-bukan hanya sebab aku tak layan kau!." Sindiran yang ku kira tak terlalu pedas membuatkan lelaki itu terkulat-kulat.Liya di sebelahku tersenyum mengejek. Lelaki itu nampak tak sabar. Berang dengan tindak balas yang diterima. "Marisa, aku tak tipu kau lah.. Kitakan sekampung.semua orang tau yang kau anak luar nikah. Cuma diorang tak nak bising sebab hormat kat mak engkau sebagai ustazah. Lagipun, engkau dan adik kau tu pernah ke jumpa bapak kau?" Lantang lelaki itu bersuara. Aku terdiam. Menafsir setiap kebenaran kata-kata lelaki itu.Dia tersenyum melihat reaksi aku yang tidak seberani tadi. "A'ah la Marisa. Aku pernah dengar hari tu ayah aku cerita kat mak aku, dia kata lelaki yang mengandungkan kau dan adik kau tu pembunuh!!" Sampuk Loqman, teman sesamseng Iqbal.Derai ketawa mereka pecah. Mataku berkaca menahan sebak di dada. "Heiii.. jaga sikit mulut korang tu. Aku report kat cikgu disiplin nanti yang kau buli Marisa." Bicara Liya dengan penuh ketegasan. Dia kemudiannya menarik lenganku dan kami berlalu pergi. Meneruskan perjalanan pulang yang terkandas. "Kau jangan fikir yang kau tu anak kesayangan cikgu, kau boleh report kat cikgu.. Nahas kau nanti!' Kata-kata amaran seperti itu sememangnya telah terlalu biasa aku dengar. Kami terus mengatur perjalanan. Dan akhirnya, air mataku tumpah jua. Perlahan-lahan aku menyekanya supaya tidak terkesan oleh Liya, sahabat dunia akhiratku. "Mar, kau jangan dengar cakap si Iqbal tu. Kau bukannya tak tau yang dia sakit hati sebab kau tolak cinta dia." Aku mengangguk sebagai tanda memberi respon.


Marisa, tengokkan pengat yang ummi masak tu." Panggilan ummi dari dapur membuatkan lamunanku terhenti. Aku bergegas ke dapur tanpa menyahut panggilan Ummi. Aku melihat Ummi tak menang tangan menyiapkan makan tengahari kami. Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai seorang ustazah yang mengajar di sebuah sekolah menengah, rutinnya sebagai seorang ibu tak pernah dilupakan. Itulah ummiku. Sememangnya hiduku sempurna walaupun tak seperti keluarga lain. Ummi berperanan sebagai ayah dan ibu. Ayah? agh.. ingatanku singgah lagi pada sebaris nama itu. Namaku Nurmarisa binti Ahmad Saufi. Kalau aku ini anak luar nikah, nama ayahku mungkin Abdullah dan bukannya Ahmad Saufi. "Marisa?" "Marisa?" Panggil ummi. Ya Allah, aku mengelamun lagi. "Ya Ummi.." Ummi menggeleng. Dia bangun dari kerusi dan berdiri di sisiku. Ummi memandangku dengan penuh kasih dan membelai-belai rambut lurusku. "Ummi tau, anak ummi ni dah terlalu matang dan berhak untuk berfikir tanpa mendapatkan pandangan dari ummi." Ummi diam. Menyusun kata-kata seterusnya. Ummi memang begini. Berbicara secara berlapik. "Tengok tu.." Ummi dan aku serentak memandang pengat keledek yang hampir hancur di dalam periuk. Aku memandang Ummi. Ummi senyum.. "Tapi, Ummi tak izinkan kalau Marisa berfikir sampai pengat keledek ni tak boleh di makan."Aku senyum. "Kenapa ni? Marisa macam ada masalah yang rumit untuk diselesaikan.." Macam tu lah Ummi aku. Dapat membaca setiap fikiran anak-anaknya. Aku menggeleng. Jika soal ayah dijadikan persoalan, memang Ummi tak pernah memberikan jawapan. "Mesti ada seorang teruna yang sedang mencuri hati Marisa." Aku tersenyum lega. Nasib baik kali ini, Ummi silap menilai.


Seperti kebiasaannya, setiap pagi adikku Imran akan menghantar aku ke sekolah. Kerana jarak sekolah yang berdekatan, dia tidak betah secara tidak langsung menjadi pemandu setiaku. Cuma, waktu pulang dari sekolah saja dia tidak mengambilku. Biasalah, sebagai pelajar tingkatan 6 atas, aku selalunya pulang lewat, berbanding dengan adikku yang baru tingkatan 5. Sebetulnya, umur Imran cuma muda setahun dari aku. Oleh kerana dia bersekolah agama, dia terpaksa menduduki kelas peralihan selama setahun di awal kemasukannya ke sekolah itu. Nataliya Umairahlah yang menjadi teman pulang ke rumah setiap hari. Jarak rumah kami dengan sekolah tidak terlalu jauh. Kalau dengan berjalan kaki, masa yang diambil untuk sampai ke rumah hanya 10 minit. Jadi aku tidak pernah merungut jika terpaksa berpenat sedikit di setiap petang. Memandangkan hari ini Liya perlu menghadiri mesyuarat bulanan persatuan Puteri Islam, aku mengambil keputusan untuk pulang sendirian. Aku berjalan menyusuri jalan kampung dengan berhati-hati. Lopak-lopak yang ditankungi air kerana hujan semalam seperti air teh susu. Sedang aku leka mengatur langkah, terdengar deruman motor dari jauh. Bunyi kenderaan itu terasa begitu hampir di belakangku. "Hai Marisa!" Sapa suara yang begitu ku kenali. Agh.. Iqbal lagi. Mahu apa lagi lelaki itu? Aku terus mengatur langkah dengan lebih laju tanpa menoleh ke arahnya. Dia memperlahankan motornya.. "Kau nak tumpang?" Aku diamkan diri lagi. "Melihat reaksi aku yang tiada tindak balas, dia memberhentikan motornya tanpa mematikan enjin. Aku terus mengatur langkah. Kedengaran deruman motornya sayup-sayup. Aku menarik nafas lega. Mungkin dia sudah berputus asa dan berpatah pulang ke rumahnya. Selang beberapa saat, aku mendengar ngauman enjin motor yang begitu kuat. Entah mat rempit mana yang menggila tengahari buta macam ni. Deruman motor itu makin hampir di belakangku.. Dan tanpa sempat aku mengelak, air dari lopak jalan raya terpercik ke arahku. Habis basah pakaian seragamku. Gila! itulah yang ingin aku katakan pada pemandu motor itu. Namun, mulutku terkunci sebaik saja melihat seraut wajah yang kelihatan tersenyum di sebalik helmet itu. "Ini balasan untuk kau kerana sombong dengan aku!" Aku menggigit bibir. Geram! "Kau terlalu sombong Marisa.. Sepatutnya kau rendahkan martabat kau tu. Sedarlah diri sikit kau tu anak haram!! Bagaikan panahan halilintar yang menerjah ke arahku. "Orang lain yang ada ayahpun taklah sesombong kau!" Ya Allah, haruskah aku pertahankan kesabaran ini, sedangkan lelaki di depan ku ini menghina aku seperti seekor anjing kurap. "Iqbal, sekalipun aku ini memang anak haram, aku takkan sesekali merendahkan maruah aku untuk berkawan dengan lelaki seperti kau!" Aku mengesat air mata yang mengalir. Oh tuhan, hebatnya dugaan yang aku terima. " Ingat Iqbal, sesiapa pun status aku dan adik aku, tak ada sesiapapun yang berhak menghina keluarga kami. Sekurang-kurangnya, walaupun aku ni anak haram, aku tak pernah sehina kau!!" Aku berlari pulang ke rumah yang hanya tak sampai sepuluh langkah lagi.***********************************************************************************Selepas kejadian dua minggu lepas,aku menjadi pendiam. Sesampainya aku di rumah hari itu Ummi terkejut melihat baju sekolahku yang sudah bertukar warna. Belum sempat aku di soal oleh Ummi, aku meluru ke bilik. Pintu bilik ku kunci. Aku menangis sepuas hati sampai tertidur dengan bajuku yang kotor itu. Aku terbagun dari tidur bila adikku, Imran mengetuk pintu bilik mengajak sembahyang maghrib berjemaah. Memang itu kebiasaanya.. Tapi malam itu aku memberi alasan kurang sihat. Di dalam bilik, aku sembahyang sendirian. Mengadu nasib pada Allah yang satu.. Menangis lagi berserah pada Sang Pencipta. Makan malam juga ku abaikan.. Ummi masuk ke bilikku dengan ucapan salam. Memang aku dah agak Ummi akan datang ke bilikku. Kerana, bukan kebiasaanku bersikap begitu. Penat atau sakit macamana sekalipun, aku akan tetap makan. Kalau tak larat sangatpun, Ummi akan membawa makanan ke bilikku dan menyuapkan ke mulutku. Kasih Ummi memang tak pernah pudar. "Kenapa ni sayang?" Jemari Ummi menyentuh wajahku.. kasihnya meresap ke dalam jiwa. Di pintu ku lihat Imran tersenyum tawar sekadar memaniskan wajah. Adikku yang satu itu terlalu memahami. Dia datang dan duduk di sebelah kiriku dan menggenggam jari-jemariku memberi kekuatan. Mungkin dia terkesan sisa-sisa duka yang terpamer di wajahku. Aku merenung Imran.. Mencari secebis makna. Mungkin ayahku seperti Imran. Penuh pengertian. Agh.. ayah lagi. Kenapa aku terdorong untuk memikirkan tentang lelaki yang tidak ku tahu hidup matinya. " Kenapa ni sayang?" Ulang Ummi memecahkan kesunyian. " Bagitahu Ummi siapa yang buat Marisa macam ni." Aku senyum... Kemudian menggeleng. Mana mungkin untuk aku bercerita tentang Iqbal pada Ummi. Jika bercerita tentang Iqbal, maka akan terbongkarlah tentang penghinaan lelaki itu padaku. Akan terbongkar juga kenyataan pahit itu. Hati Ummi perlu ku jaga. Hati Imran juga tak boleh terusik.. Biar aku seorang yang makan hati. Biar aku seorang yang terluka. Dulu, pernah semasa Imran dan aku melihat foto-foto di zaman kecil, Imran bertanya pada Ummi, mana gambar-gambar kami dengan ayah. Air muka Ummi serta-merta berubah. Imran bertanya lagi bila melihat Ummi masih membisu.. Ummi senyum dan memberikan alasan yang tak logik dek akal. "Dulu, keluarga kita miskin, dan tak ada kamera nak ambil gambar kenangan." Kata-kata itu yang terlahir dari seulas bibir Ummi. Ummi terus berlalu menuju ke dapur. Aku dan Imran berpandangan. Kerana perasaan ingin tahu, aku dan Imran meluru ke dapur. Dan di satu sudut dapur, aku dan Imran melihat Ummi tersedu-sedan. Ketika itu, aku baru berumur 7 tahun, dan Imran 6 tahun. Di usia itu, aku dan Imran sudah dapat memahami kenapa jika manusia itu menangis. Dan selepas itu, aku dan Imran sama-sama berjanji takkan bertanya lagi tentang seorang lelaki bernama ayah. "Kakak..." tutur Imran lembut. " Ummi tanya tu.." Agh, lamanya aku mengelamun. Sejauh itu aku berfikir. Ummi memeluk tubuhku kedalam dakapannya. Terasa selamat sekali... " Ummi, kalaulah ayah ada.. tentu keluarga kita akan lebih bahagia sekarang." Entah dari mana kekuatan itu aku perolehi. "Kakak, kenapa cakap macam tu?" aku tahu maksud Imran. Janji tetap janji. Ummi terkaku. Rasa bersalah menerjah tangkai hati. "Ummi keluar dulu ya. Biar Im yang pujuk kakak." Kulihat raut wajah Ummi suram. Ummi, maafkan Marisa. Jerit batinku. Ummi berlalu membawa hampa yang menggunung. Setelah puas dipujuk, barulah hatiku terbuka untuk ceritakan segala-galanya pada Imran. Imran berhak tahu kerana dia adikku. Jelas di wajahnya aku lihat, Imran mengerti perasaan hatiku apabila di hina begitu.


Selang dua hari selepas kejadian tu, aku terserempak lagi dengan Iqbal. Waktu itu aku mahu ke bilik guru untuk menghantar tugasan. Sebolehnya, aku tak mahu memandang mukanya. Aku benci! "Marisa.." Dia memanggil. Aku terus melangkah. "Marisa.." Lelaki itu menghalang laluanku, memaksa aku mematikan langkah. "Maafkan aku." Terlalu jengkel ku dengar perkataan yang terlahir dari bibir lelaki itu. Aku melemparkan pandanganku jauh ke padang sekolah. Mengelak dari bertentang mata dengannya. " Walaupun kau tak sudi memandang aku lagi, tak apalah. Tapi aku pohon dengan sepenuh hati, maafkan aku!" Bicara berupa rayuan itu langsung tidak berbekas di hati. Aku memberanikan diri menentang matanya. Hah.. ku lihat bibir kirinya lebam dan ada kesan luka. "Kau kenapa?" Perasaan ambil berat sebagai manusia wujud secara tiba-tiba. "Aku ok." Iqbal tersenyum kelat. "Luka yang aku rasa ni, tidak seteruk kelukaan yang kau rasakan. Aku memang silap.. Aku memang bodoh kerana sanggup menyakiti hati kau." Lelaki yang megah dengan keegoannya itu tiba-tiba hilang taringnya. "Marisa, sekali lagi aku pohon, maafkan aku kerana menyakiti kau selama ini." Iqbal berlalu dengan seribu tanda tanya. Aku bertanya dalam hati.. Imran ke yang pukul Iqbal? Soalan itu langsung ku ajukan pada Imran apabila setibanya aku di rumah. "Im pukul Iqbal ye?" Imran meneruskan pembacaannya. Apabila tiada jawapan yang aku inginkan, aku menarik buku dari tangan Imran membuatkan dia hilang tumpuan. "Kakak, bagi balik buku tu." Ucap Imran keras. " Jawab soalan kakak dulu.Im pukul dia kan? Jujur dengan kakak." Suaraku yang mula meninggi membuatkan Ummi tergopoh-gopoh datang ke ruang tamu. "Kenapa ni?" Tanya Ummi. "Ummi tanyalah anak lelaki Ummi ni.. Dah pandai pukul orang. Kalau sampai kepengetahuan pihak sekolah macamana nanti? Kena gantung sekolah baru tahu." Alamak, aku terlepas cakap lagi. Matilah kali ni.. Semuanya bakal terbongkar! "Betul ke Im?" Tanya Ummi bimbang. Lama Ummi membatu menanti jawapan dari Imran. Imran kemudiannya memandangku. Aku mengerti bahasa matanya. "Im tak sengaja Ummi. Lagipun memang budak tu yang salah." Tutur Imran lembut. Mudah-mudahan dia dapat mengawal keadaaan. "Tapi, Ummi tak pernah ajar Im bergaduh walau ia berpunca dari sesiapapun. Berdamai tu kan dituntut dalam Islam. Nabi SAW sendiri, apabila berdepan dengan musuh, baginda…“ "Walaupun orang tu mengatakan kita anak haram, kita masih perlu berdiam diri?" Pintas Imran tanpa ku duga. Imran ku lihat terlalu berani. Mungkin kerana dia sudah tidak sanggup membiarkan kami terus berada dalam serba tanda tanya. Ummi terkaku. "Im.." Aku menggelengkan kepala tanda jangan memberitahu Ummi. "Biarlah kak.. Biar Ummi tahu. Sebagai ibu, Ummi berhak untuk tahu." Tutur Imran tegas. Jelas menunjukkan ciri-ciri bakal pemimpin keluarga. Mata Ummi ku lihat berkaca. Aku ingin tahu maksud air mata itu. "Im dan kakak dah cukup besar Ummi. Kami bukannya ingin menafikan Ummi sebagai ibu kami, tapi kami perlu tahu siapa sebenarnya ayah kami. Siapa sebenarnya Ahmad Saufi? Kalau ayah sebenarnya sudah meninggal, dimanakah kuburnya." Imran menggenggam tangan Ummi. Kemudian menciummya. Aku mendekat.. memeluk Ummi dari belakang. "Seandainya, Im dan kakak sebenarnya memang anak luar nikah, kami takkan menyalahkan Ummi. Malah kami amat berterima kasih kepada Ummi kerana mengandung dan melahirkan kami." Imran mematikan kata-katanya. Membiarkan suasana sunyi seketika. Dia memandang aku, memberi ruang untuk aku menyambung kata-katanya. Betul kata Imran. Terlalu banyak pengorbanan yang ummi lakukan. Nenek pernah bercerita, ummi mengalami alahan yang teruk sewaktu mengandungkan aku. Dan, semasa melahirkan Imran, Ummi mengalami tumpah darah. Ya Allah, jika dihitung segalanya, mustahil aku dan Imran akan menyalahkan Ummi. Tanpa Ummi, takkan wujudlah kami di dunia ini. "Ummi.." Aku memulakan bicara. " Marisa dan Im terlalu sayangkan Ummi. Sebab itu kami tidak mahu kalau ada orang menuduh Ummi yang bukan-bukan. Bagitahulah kebenarannya Ummi. Sekurang-kurangnya kami tahu siapa ayah kami." Rayuan yang seakan mendesak itu membuatkan tangisan Ummi pecah. Aku dan Imran berpandangan. "Marisa dan Imran bukan anak luar nikah." Pandangan kami berkalih pada Ummi. "Dan ayah kamu berdua masih hidup...


Dan kini, segalanya telah terbongkar. Persoalan yang selama ini bermain di fikiran, akhirnya terjawab sudah. Ummi telah menceritakan segala-galanya. Lelaki yang bernama Ahmad Saufi itu sememangnya ayah kandung kami. Kenyataan itu menangkis segala fitnah Iqbal selama ini. Aku memanjatkan seribu kesyukuran. Sesungguhnya darah yang mengalir dalam tubuh aku dan Imran adalah darah yang bersih. Tapi, satu kenyataan lagi yang sukar aku terima adalah ayah seorang pembunuh! Kata Ummi, ayah melakukan itu semua adalah bersebab. Menurut Ummi, dia melahirkan Imran di rumah Ibu bapa ayah di kampung. Minggu ke lima kelahiran Imran, sesuatu yang tak terduga telah berlaku. Rumah ibu bapa ayah telah dimasuki pencuri. Ketika itu Ibu bapa ayah membawa aku ke bandar untuk membeli keperluan dapur. Pencuri yang kejam itu cuba untuk melarikan Imran yang ketika itu baru berumur 35 hari. Iya, dengan umur yang tak sampai sebulan itu, Imran boleh dijadikan barang dagangan. Ummi menjerit dan merayu agar pencuri itu tidak mengapa-apakan Imran. Apabila pencuri itu melihat Ummi yang merayu sesungguh hati, dia meletakkan Imran di atas tilam dan mendapatkan Ummi yang tidak jauh dari situ. Dengan nafsu buas yang beraja, pencuri kejam itu cuba merentap kain yang di pakai oleh Ummi. Apalah daya Ummi yang ketika itu masih belum habis pantang. Sungguh Allah itu Maha Pelindung.. Ayah yang merasa tidak sedap hati, terus pulang ke kampung walaupun pagi itu ayah sepatutnya menyambung kerjanya setelah seminggu bercuti. Melihat keadaan yang genting, ayah meluru mendapatkan Ummi dan pencuri itu. Ayah memukul pencuri itu dengan sekuat hati. Sedang mereka bergaduh, pencuri terus mengeluarkan sebilah pisau lipat dari poket seluarnya dan mengacukan ke arah ayah. Ayah tidak mengalah. Dia cuba untuk merebut pisau itu dari pencuri tersebut. Berlakulah pergelutan dan akhirnya pisau itu tertikam tuannya sendiri. Ummi yang terkejut menjerit sekuat hati setelah melihat lumuran darah di badan pencuri itu..


"Jangan menyalahkan ayah kamu. Dia melakukan itu semua sebab ingin menyelamatkan maruah Ummi." Kata-kata Ummi masih bergema di ruang dengar. "Ayah yang meminta Ummi merahsiakannnya kerana tidak mahu anak-anaknya tertekan dengan kenyataan ini.” Memang betul kata-kata Ummi. Ayah tak pernah bersalah dalam hal ini. Ayah melakukan pengorbanan yang sepatutnya dilakukan oleh seorang suami. "Di mana ayah?" Soalan itu hampir serentak kami tujukan untuk Ummi. Menurut Ummi, ayah berada di dalam penjara. Hukuman yang dikenakan terhadapnya adalah selama 30 tahun. Hari ini Imran berumur 18 thn.. Masih ada 12 tahun lagi, baru ayah akan dibebaskan. Setelah banyak kali aku dan Imran mendesak, akhirnya Ummi bersetuju membawa kami berjumpa ayah. Dan hari ini adalah harinya.. Aku sebenarnya tidak sabar untuk melihat raut wajah insan yang bergelar ayah itu. Sampai saja di perkarangan penjara Sungai Buluh, kami bertiga turun dari kereta Kembara milik Ummi. Imran mendapatkan aku dan menggenggam jemariku. Aku mengeratkan lagi genggaman tangannya. Aku dapat merasakan getaran hati Imran. Matanya berkaca. Seperti biasa, aku pasti akan mengusap kepalanya. Aku senyum menahan air mata dari mencemari pipiku. "Dik, kita akan jumpa ayah.. Jaga perangai tau!" Imran mengangguk perlahan. Seterusnya, Ummi mengajak kami ke ruangan pelawat. "Saya ingin berjumpa dengan suami saya, Ahmad Saufi." Lafaz Ummi. Sekejap ya Puan." Balas penjaga kaunter pelawat itu dengan ramah. Setelah mencatat sesuatu, petugas tadi kembali bersuara "Puan boleh masuk ke dalam sekarang." Ummi masuk ke bilik itu diikuti oleh aku dan Imran. Di sebalik tingkap bercermin kaca yang berjeriji besi, aku melihat seorang lelaki tua yang berpakaian seragam penjara yang telah lusuh warnanya. Tapi wajahnya itu mirip Imran. Mulus dan bersih. Dia memandang Ummi lalu menghadiahkan sebuah senyuman. Seolah-olah setiap hari Ummi dan dia bertemu. Mungkin betul telahanku, kerana jarak tempat mengajar Ummi dan penjara ini tdak terlalu jauh. Pandai Ummi menyimpan rahsia ini selama berbelas tahun. Agh, mungkin ini namanya cinta sejati. Ummi mengambil sejenis alat seperti ganggang telifon rumah dan melekapkan ke telinganya. Lelaki itu juga berbuat demikian. "Abang, Kasih bawa anak-anak kita." Ucap Ummi. Lelaki itu memandang ke arah aku dan Imran silih berganti. Mukanya keruh. Tidak sukakah dia berjumpa dengan anak-anaknya ini? "Kasih minta maaf kerana tidak dapat menyimpan rahsia ini sehingga Marisa dan Imran habis belajar." Aku dan Imran mengambil tempat di sebelah Ummi. "Seperti yang selalu Kasih ceritakan, Marisa dan Imran selalu diasak tentang statusnya sebagai anak-anak Kasih." Nah, betulkan.. sememangnya Ummi selalu menemui lelaki itu.Lelaki itu memandang aku..kosong. Kemudian beralih kepada Imran..juga tanpa apa-apa pamitan,atau mimik muka. Aku rindu untuk mendengar suara yang aku tak pernah dengar selama ini. "Tak apalah. Kalau bukan sekarangpun, mereka akan tetap tahu yang ayah mereka ini meringkuk di dalam penjara kerana membunuh." Bergetar suara itu. Walaupun perlahan ucapannya, telingaku dapat menangkap butir bicaranya. "Tapi abang..." Ummi mematikan kata-katanya apabila melihat lelaki itu bangun dari kerusi dan ingin berlalu. Dengan pantas, aku mengambil ganggang telifon dari tangan Ummi." Ayah, kami tak pernah menyesali takdir ini. Kami tak pernah berasa malu hanya kerana ayah kami meringkuk di dalam penjara." Ayah mematikan langkahnya. Dia berpaling ke arah kami dan mengatur langkah. Dia mendekat. Aku memandang bening matanya, mencari sebuah harapan. Matanya bergenang. Dia melekapkan tangannya ke arah tingkap cermin. Dan aku juga berbuat seperti itu. Terasa tapak tanganku menyentuh tapak tangannya. "Marisa anak ayah..." Ucap ayah. "Iye ayah. Dan ini Imran, satu-satunya anak lelaki ayah." Aku memandang Imran, matanya basah. Entah bila dia menangis, akupun tak sedar. Aku memberinya ganggang telifon itu. "Ayah.." Esak tangis Imran bergema. Aku dan Ummi sendiri tidak dapat menahan air mata dari gugur. "Im janji, Im akan jaga Ummi dan kakak. Ayah cepat pulang ya.. Nanti kita boleh makan malam sama-sama, sembahyang berjemaah sama-sama. Kalau ayah ada, Im dah tak perlu jadi imam." Adu Imran selaku anak bongsu. "Puan, masa melawat dah tamat." ucap seorang anggota polis. "Ayah pergi dulu ya.." Lafaz ayah. "Ayah... esok kami datang lagi." Raung aku dan Imran serentak apabila seorang anggota polis menggari tangan ayah dan kemudiannya membawa ayah pergi. Ummi memeluk aku dan Imran."Ya.. esok kita pasti datang lagi." Luah Ummi sambil tersenyum. Aku dan Imran juga tersenyum dalam tangisan. Sesungguhnya, kami puas kerana dapat berjumpa dengan ayah. Akhirnya kami tahu siapa ayah kami..dan yang paling penting, aku dan Imran bukan anak haram seperti yang di katakan oleh Iqbal. Esok, pagi-pagi lagi aku akan berjumpa Iqbal.. Aku akan memaafkan segala salah dan silapnya terhadapku selama ini. Sesungguhnya, kemaafan adalah dendam yang terindah

No comments:

Post a Comment